Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Jangkitan virus Covid-19 melibatkan Kluster Teratai masih terkawal rapi dan tidak menular dalam kalangan komuniti seperti dibimbangi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham berkata, setakat ini, jangkitan itu hanya membabitkan kontak rapat dalam kalangan pekerja warga tempatan yang menjangkiti ahli keluarga masing-masing.

Menurutnya, kementeriannya tidak menemui bukti jangkitan kluster berkenaan dalam komuniti.

“Kita tidak menemui sebarang jangkitan dalam komuniti membabitkan Kluster Teratai.

“Jangkitan didapati dalam kalangan pekerja dan kontak rapat membabitkan seramai 164 individu atau pekerja warganegara Malaysia yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur dan menjangkiti ahli keluarga mereka,” katanya pada sidang media  hari ini.

Tambah Noor Hisham lagi, pihak kementerian sudah mengambil langkah pantas dan berhubung dengan majikan dalam sektor pembinaan dan yang menggajikan ramai pekerja asing untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 secara berkala.

Katanya, ujian saringan berkala membabitkan pekerja asing adalah terutama yang berada atau yang ditempatkan di kawasan zon merah.

“Kita sudah arahkan semua majikan yang menggaji pekerja asing supaya melibatkan tenaga kerja asing itu dalam ujian saringan Covid-19 secara berkala khususnya di kawasan zon merah.

“Kita berharap juga Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) digunakan sebaik-baiknya untuk memastikan kebajikan dan perumahan pekerja asing dijaga dan tidak dieksploitasikan atas alasan Covid-19,” tegasnya.- MalaysiaGazette