Seorang pengunjung tidak melepaskan peluang mencuba bahagian dalaman kereta Proton X50 yang baru sahaja dilancarkan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Jualan Proton Edar Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – CGS-CIMB mengunjurkan jualan keseluruhan industri (TIV) bagi 2021 meningkat sebanyak 14 peratus kepada 570,000 dirangsang oleh permintaan kukuh terhadap jenama nasional susulan pelancaran model baharu seperti  X50 Proton dan kereta kompak baharu Perodua, D55L.

Firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikannya hari ini berkata, ia juga menjangka pemulihan kukuh jenama dari Jepun seperti Honda, Nissan dan Toyota disokong oleh pelancaran baharu seperti Honda City, Nissan Almera dan Toyota Yaris yang berwajah baharu.

“Meskipun pelepasan cukai jualan berakhir pada penghujung 2020, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangka TIV meningkat daripada 470,000 pada 2020 kepada 550,000 pada 2021 dipacu oleh pelancaran model baharu dan kempen promosi yang sedang dijalankan sekarang oleh para pengedar,” kata firma itu.

CGS-CIMB juga menjangkakan pendapatan sektor auto yang lebih kukuh pada suku ketiga 2020 susulan pemulihan kuantiti jualan hasil daripada pelepasan cukai jualan.

“Kami merasakan penilaian itu mencerminkan prospek pendapatan sektor yang bertambah baik pada separuh kedua 2020.

“Sime Darby merupakan pilihan utama kami berikutan asas pendapatannya yang pelbagai, prospek pemulihan di China dan potensi dividen tinggi,” kata firma penyelidikan itu.

TIV meningkat 0.4 peratus kepada 56,670 unit pada Oktober 2020 daripada 56,444 unit pada September 2020 berikutan pelancaran model baharu seperti Honda City dan Proton X50 dan kempen promosi oleh para pengedar.

Peningkatan TIV itu dipacu terutamanya daripada permintaan tinggi terhadap kereta penumpang  (+0.7 peratus) manakala permintaan kenderaan perdagangan turun 2.9 peratus bulan ke bulan. – MalaysiaGazette