PUTRAJAYA – Kes Covid-19 yang sembuh hari ini direkodkan melebihi kes baharu iaitu sebanyak 1,148 berbanding kes baharu sebanyak 1,109.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 50,204 kes atau 81.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Berhubung kes positif, beliau memaklumkan jumlah kes kebolehjangkitan sehingga kini adalah 11,307.

“Daripada kes baharu terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,099 kes merupakan penularan Covid-19 dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, negeri Sabah masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 441 kes (39.8 peratus) di mana 346 kes (78.5 peratus) daripada kes-kes dikesan di negeri berkenaan.

Ia hasil saringan kluster-kluster dan kontak rapat kes positif Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.

Iai diikuti oleh negeri Selangor sebanyak 175 kes (15.8 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 167 kes (15.1 peratus).

Sehingga kini, kata beliau, terdapat 113 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 41 kes memerlukan bantuan pernafasan dan dua kematian melibatkan warga Sabah di negeri itu. – MalaysiaGazette