Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media khas secara maya mengenai vaksin Covid-19 di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin Covid-19 dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan bekalan sebanyak 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian itu bertujuan untuk memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data dalam menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan disamping menjamin akses kepada vaksin tersebut sekiranya sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat.

Katanya, pada 9 November lalu Pfizer menyatakan bahawa analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin (vaccine efficacy) tersebut adalah 95 peratus.

“Melalui perjanjian ini juga, Pfizer telah menjanjikan penghantaran sebanyak satu juta dos bagi suku pertama tahun 2021, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat,” katanya pada sidang media khas mengenai vaksin Covid-19, di sini hari ini

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, syarikat itu masih perlu mendapatkan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan kelulusan regulatori dari negara pengeluar, disamping mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum vaksin ini boleh digunakan di Malaysia.

Terdahulu katanya, pada 22 November lalu, Malaysia melalui Menteri Kesihatan turut menandatangani perjanjian dengan fasiliti
Covax bagi mendapatkan vaksin Covid-19 untuk menampung
keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia.

Sehubungan itu beliau berkata, kedua-dua perjanjian tersebut dijangka dapat menjamin akses vaksin wabak berkenaan untuk 30 peratus rakyat di negara ini.

Tambahnya, proses pemberian vaksin, setelah diperolehi nanti, akan dilakukan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi yang mudah mendapat jangkitan Covid-19.

Jelasnya, kumpulan berisiko tinggi itu termasuk petugas-petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit-pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan sebagainya. Seterusnya, vaksin ini juga akan diperluaskan kepada kumpulan sasar yang lain.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) masih giat meneruskan rundingan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin di seluruh dunia bagi mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19 yang secukupnya untuk rakyat Malaysia.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, KKM bakal memulakan satu kajian klinikal fasa tiga vaksin berkenaan menerusi inisiatif kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama Republik Rakyat China (RRC).

Katanya, vaksin itu dibangunkan oleh Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS).

“Kajian klinikal fasa tiga ini akan melibatkan sejumlah 3,000 peserta dan akan menilai keselamatan serta keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkan itu.

“Kajian yang dijangka bermula pada bulan Disember 2020 akan
dikendalikan oleh Pertubuhan Kajian Klinikal (CRO) tempatan dan
telahpun didaftarkan di dalam Daftar Kajian Perubatan Nasional
(NMRR),” jelasnya.

Tambah beliau lagi, profil keselamatan vaksin akan diteliti terlebih dahulu oleh NPRA untuk memperoleh Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL) dan protokol kajian akan dikaji oleh Jawatankuasa Etika dan Kajian Perubatan (MREC) bagi memastikan kajian yang akan dijalankan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.

Kajian klinikal fasa tiga itu akan melibatkan lapan buah pusat penyelidikan klinikal di bawah seliaan KKM, katanya.

“Kerajaan ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IMBCAMS yang akan berkolaborasi untuk menjalankan kajian klinikal fasa tiga ini di Malaysia.

“Kerajaan juga ingin memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa vaksin yang akan digunakan di Malaysia mesti melepasi syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Bahagian
Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Kerajaan tidak akan sesekali
berkompromi dalam soal ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mana pak2 lebai kerajaan.. X kan main anggok2 je vaksin dr sepet tnh besar ni..Malaysia x der kepakaran lngsong ke…shame on u lebai konon punyai pakar2 hebat… Cuihh puihh.. Kaedah Islam kan terbukti dlm Quran guna pakai la woii

Comments are closed.