Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Situasi banjir di beberapa negeri pagi ini bertambah buruk dengan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dilaporkan meningkat.

Di KEDAH, seramai 691 mangsa daripada 183 keluarga ditempatkan di enam PPS di daerah Kulim dan Kuala Muda berikutan banjir kilat yang berlaku akibat hujan lebat petang semalam.

Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam (APM), di Kulim seramai 256 mangsa ditempatkan di PPS Masjid Sungai Seluang, PPS Surau Kampung Haji Wahab dan Dewan Masjid Al Huda Kampung Jerung manakala di Kuala Muda, seramai 435 mangsa ditempatkan di  dua PPS di Mukim Sungai Petani dan satu di Mukim Sidam Kiri.

Di PERAK, hujan berterusan sejak tengah hari hingga tengah malam tadi, menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kinta dinaiki air, menyebabkan 27 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Awam Hock Aun.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak dalam kenyataan berkata, di Hilir Perak, banjir melanda beberapa kampung di Changkat Jong, Teluk Intan menyebabkan 76 orang ditempatkan di PPS di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

Sementara itu, menurut aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, sebuah PPS turut dibuka di daerah Larut, Matang dan Selama semalam menempatkan 27 mangsa daripada tujuh keluarga di Dewan Orang Ramai Kampung Bendang Luas, Ijok.

Di MELAKA, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pari Gantong di Jasin yang ditutup kira-kira 3.30 petang semalam, kembali dibuka pada 8 malam tadi setelah berlaku limpahan air dari Sungai Teluk Rimba menyebabkan beberapa rumah dinaiki air.

Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata seramai 19 mangsa daripada empat keluarga dilaporkan kembali menghuni PPS itu.

Sementara itu, bilangan mangsa banjir di Bintulu, SARAWAK meningkat kepada 364 orang pagi ini dengan pertambahan 227 mangsa dipindahkan di dua buah PPS di daerah ini berbanding 137 orang semalam.

Berdasarkan maklumat terkini dari Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, seramai 200 mangsa ditempatkan di PPS di Stadium Muhibbah manakala 164 lagi mangsa di PPS  Dewan Suarah Bintulu.

Bagaimanapun, keadaan banjir di TERENGGANU yang memasuki hari keenam beransur baik dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 1,041 orang berbanding 1,483 orang petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata penurunan itu berikutan penutupan tiga PPS di Kemaman menjadikan jumlah PPS yang masih dibuka setakat ini di tiga daerah terjejas iaitu Kemaman, Dungun dan Marang adalah 12 PPS.

“Di Kemaman masih menempatkan 897 orang, Dungun 130 orang, manakala di Marang jumlah mangsa kekal tidak berubah iaitu 14 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama