Suspek diiring anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian di Kompleks Mahkamah Kajang, Kajang. foto AFIQ HAMBALI, 30 NOVEMBER 2020.

KAJANG – Seorang bapa tiga anak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang operator kilang di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas).

Tertuduh Hoi Yew Seng, 41, yang merupakan seorang jurujual bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Terdahulu, tertuduh yang hadir berkemeja-T hitam dan seluar jeans hanya diam serta tunduk sepanjang prosiding berlangsung.

Syahrul Sazly pada mulanya menetapkan ikat jamin sebanyak RM50,000 terhadap tertuduh di atas kesalahan yang dilakukan.

Bagaimana tertuduh yang diwakli Peguambela, Tan Teck Yew meminta agar mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan tersebut ekoran wang jaminan itu akan dibayar oleh adik anak guamnya.

Katanya, anak guamnya itu juga berdepan dengan pelbagai masalah kewangan selepas perniagaannya terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Majistret kemudiannya mengurangkan jumlah jaminan kepada RM12,000 dan dokumen perjalanan antarabangsanya perlu diserah kepada mahkamah.

Syahrul Sazly menetapkan, 4 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula.

Dalam kejadian pada 27 November lalu, seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta Mercedes Benz yang dipandu tertuduh.

Tertuduh ketika itu memandu dari pekan Kajang menghala ke Plaza Tol Lekas.

Sebaik tiba di lokasi, tertuduh yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol melanggar dari arah belakang sebuah motosikal jenis Modenas dinaiki seorang lelaki berusia 37 tahun.

Rempuhan itu telah menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian.

Tertuduh yang tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 dan tidak lebih 15 tahun atau denda tidak kurang RM50,000 serta tidak lebih RM100,000 dengan hilang kelayakan memandu tidak kurang dari 10 tahun atau tidak lebih 20 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast