Foto agensi

WASHINGTON- Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memilih para pembantunya yang lebih berpengalaman dalam mengetuai pasukan pentadbiran memerangi Covid-19 dan membina semula ekonomi.

Pejabat Presiden AS mengesahkan pada Ahad yang Biden akan diberi taklimat sulit berhubung langkah-langkah penting yang perlu diambil dalam mengawal keselamatan negara.

Ketika Biden sedang membuat persiapan untuk melangkah masuk ke White House, Presiden Donald Trump terus berikrar untuk mencabar keputusan pilihan raya pada 3 November lalu menerusi perundangan.

Pada Isnin, Biden dijangka diberi taklimat sulit harian selepas beberapa minggu pentadbiran Trump enggan untuk melakukannya.

Taklimat harian sulit Presiden atau lebih dikenali sebagai PDB, merupakan langkah pertama pemindahan tanggungjawab bagi maklumat-maklumat risikan paling sensitif kepada pentadbiran baharu.

Biden juga dijangka mengumumkan ahli-ahli paling kanan dalam pasukan ekonominya, kata seorang sumber yang rapat dengan proses tersebut.

Ini termasuk beberapa pegawai kanan yang pernah bekerja bersama beliau semasa pentadbiran Barack Obama.- MalaysiaGazette