Dieogo Rolan.

KUALA LUMPUR – Bekas penyerang skuad kebangsaan Uruguay, Diego Rolan bakal beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

Menurut laporan ElDesmarque, Rolan yang kini beraksi dalam saingan La Liga 2 bersama kelab Deportivo de La Coruna merupakan bekas rakan sepasukan Edinson Cavani dalam skuad kebangsaan itu.

Pemain berusia 27 tahun itu dijangka menyertai juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu pada Janurari depan jika segala proses perpindahan berjalan dengan lancar.

Prestasi yang baik itu telah menarik minat pengendali JDT, Benjamin Mora untuk menandatangani pemain tersebut bagi menggantikan tempat Diogo Luis Santo yang menyertai kelab Thailand.

JDT kini sedang mencari seorang penyerang import baharu selepas calon pemain dari Brazil, Camilo Sanvezzo membuat kejutan apabila menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab Mexico, Mazatlan FC.

Rolan dilihat sebagai calon yang sesuai kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa kerana pernah menjuarai Coupe de France bersama kelab Bordeaux pada musim 2013.

Pemain ini juga mempunyai 25 kaps dengan skuad kebangsaan Uruguay dan pernah beraksi dalam saingan Copa America 2015 dan 2016 bersama bintang terkemuka dunia seperti Luis Suarez, Gimenez, dan Maxi Pereira. – MalaysiaGazette