Dakwaan seorang pakar keselamatan jalan raya bahawa individu yang tidak mempunyai lesen memandu tidak layak menuntut sebarang faedah jika terlibat dalam kemalangan jalan raya tidak benar.

KUALA LUMPUR – Seramai 99,969 orang hilang pekerjaan sepanjang tempoh Januari hingga November tahun ini.

Ia berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 22 November lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, terdapat tujuh faktor kehilangan pekerjaan yang dilaporkan oleh pekerja ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara ini.

Antaranya adalah penutupan syarikat, pengecilan tenaga kerja, Voluntary Separation Scheme (VSS) dan Mutual separation Scheme (MSS), syarikat mengalami masalah kewangan kritikal, penutupan separa (Partial closure), pengambilalihan syarikat (Acquisition of company), dan penempatan semula syarikat.

“Faktor-faktor di atas disebabkan oleh tekanan yang dialami oleh semua industri secara global disebabkan pandemik Covid-19 yang di luar kawalan,” katanya.

Beliau menjawab persoalan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat)  yang bertanya mengapa seramai 81,217 pekerja telah kehilangan pekerjaan walaupun Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) telah dilaksanakan oleh Kerajaan.

Berdasarkan rekod SIP sehingga 27 November lalu, bilangan kehilangan pekerjaan melibatkan kategori pengurus ialah seramai 13,109 orang, profesional melibatkan 26,079 orang dan kategori
juruteknik serta profesional bersekutu seramai 19,095 orang.

Beliau berkata, kategori-kategori ini adalah merupakan dalam kalangan pekerja yang berpendapatan RM4,000 ke atas.

“Berdasarkan kepada data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dianggarkan 75 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja adalah daripada golongan B40 yang berpendapatan RM4,000 ke bawah,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 28 Oktober lalu seramai 90,470 orang hilang pekerjaan bagi tahun ini, berdasarkan statistik SIP Perkeso.

Jumlah itu meningkat sebanyak hampir 10,000 dalam masa sebulan. – MalaysiaGazette