Datuk Saiful Azly Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Suspek terakhir yang sangat dikehendaki dan diburu polis dalam kes samun dan bunuh bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (MARDI) berjaya ditangkap polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek dikenali disebagai Sugu Thanggarajoo dicekup di Setapak semalam.

Sugu@Abdul adalah suspek terakhir dan juga suspek kempat yang berada dengan suspek utama ketika menyamun dan bunuh Wan Hassan Wan Embong, 71.

Dalam kejadian di Bukit Bandaraya Bangsa itu, isteri mangsa turut dicederakan.

Kumpulan itu dipercayai turut terlibat dalam kes samun di Taman Tiara, Titiwangsa.

“Kita pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur bertindak atas maklumat berjaya menjejaki suspek terakhir yang diburu polis iaitu Sugu atau dikenali dalam kumpulan geng sebagai Abdul.

“Dia didapati bersembunyi di sebuah rumah di Air Panas, Setapak dan berjaya ditangkap sekitar jam 4.30 pagi tadi.

“Suspek berusia 27 tahun dan dengan tangkapan suspek terakhir ini polis yakin berjaya menyelesaikan kes samun dan bunuh pesara kerajaan itu,” katanya kepada MalaysiaGazette pagi ini.

Katanya, suspek akan dibawa untuk perintah reman hari ini bagi membantu melengkapkan siasatan lanjut.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada sidang media Selasa lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed mengesahkan tiga suspek termasuk suspek utama yang bersembunyi di Rinching, Semenyih berjaya ditangkap.

Manakala Sugu pula diburu.

Identiti keempat-empat suspek itu dikenal pasti selepas mereka terlibat dalam jenayah samun kedua di sebuah kawasan perumahan di Titiwangsa.

Ia berikutan penemuan MyKad milik Wan Hassan yang tercampak ketika salah seorang suspek melarikan diri apabila terserempak dengan orang awam di kawasan perumahan itu.

Pengecaman wajah kedua-dua mangsa samun dan lakaran kesemua penyamun yang tidak memakai bertopeng muka membawa kepada kejayaan polis menangkap kesemua mereka.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi Ahad, Wan Hassan, maut akibat ditetak, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera di tangan kanan juga akibat ditetak.

Menurut Huzir, ketiga-tiga suspek yang ditangkap itu mengaku terlibat dalam kejadian itu dan suspek utama turut mengaku menetak mangsa.-MalaysiaGazette

Suspek utama bunuh bekas penyelidik Mardi dicekup polis, seorang lagi diburuĀ 

 

Muka penyamun buang dompet mangsa bunuh dicam, polis tahan 10 saspek

 

Pesara kerajaan mati ditetak, isteri cedera disamun

3 Komen

Comments are closed.