Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau dikenali sebagai Peja gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya terhadapnya yang dikemukakan seorang ADUN dari Barisan Nasional (BN).

Dalam undian belah bahagi ketika permulaan sesi persidangan DUN itu pagi ini, daripada 59 ADUN yang mengundi hanya 10 bersetuju manakala 48 tidak bersetuju dan satu berkecuali.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid ketika mengumumkan keputusan itu berkata, usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal menepati syarat dan tidak melanggar peraturan DUN dengan 45 ADUN bersetuju, manakala sembilan tidak bersetuju.

Sebelum itu, hanya dua ADUN UMNO yang mengambil bahagian berbahas iaitu ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd. Manaf Hashim dan ADUN Gunung Semanggol, Datuk Razman Zakaria.

Menerusi surat bertarikh 18 November 2020, Abd. Manaf menyatakan Ahmad Faizal yang merupakan ADUN Chenderiang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempunyai keyakinan majoriti ADUN di negeri itu.

Justeru, beliau memohon membawa satu usul berkenaan dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan di bawah Perintah-Perintah Tetap 26 (1) dibaca bersama Perintah Tetap 27 (3) Dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

MalaysiaGazette difahamkan, usul itu dikemukakan berikutan rasa tidak puas hati majoriti ADUN UMNO dan BN terhadap kepimpinan Ahmad Faizal yang lebih mementingkan politik daripada menumpu kebajikan rakyat.

Krisis itu tercetus selepas ADUN Pengkalan Hulu dari UMNO, Aznel Ibrahim dilantik sebagai Setiausaha Politiknya.

Pelantikan itu dibuat tanpa mendapatkan kebenaran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohammad.

Menurut sumber, walaupun usul undi percaya itu bukan berbentuk undi tidak percaya tetapi boleh dianggap sebagai serampang dua mata bagi ADUN Perak untuk menafikan hak Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.

Ahmad Faizal dijadualkan akan membentangkan Belanjawan 2021 Perak pada sidang DUN itu pagi ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Kesian hng peja dibungkam oleh geng2 penyamun… Lepas ni Presiden Ppbm pulk kena bungkam… Tun M dh nsihat tp x nk dngr.. Kn dh kena.. Khkhkhkh

Comments are closed.