ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan antara paras 1,640 dan 1,650 minggu depan mendapat rangsangan daripada aktiviti memperelokkan akaun.

Bagaimanapun, reaksi spontan dijangkakan pada Isnin berikutan penurunan penarafan kredit negara Malaysia kepada ‘BBB+’ daripada ‘A-‘ dengan tinjauan stabil oleh Fitch Ratings.

Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan berkata, Disember kebiasaannya adalah bulan yang positif bagi FBM KLCI, justeru, pasaran dijangka meningkat perlahan-lahan daripada sebelumnya.

Beliau berkata, antara pemangkin positif yang akan menggerakkan pasaran adalah keyakinan terhadap vaksin Covid-19 dan Belanjawan 2021, keputusan suku ketiga yang lebih baik daripada dijangkakan serta minat berterusan terhadap saham syarikat yang dijangka menerima manfaat daripada jangkaan pemulihan ekonomi.

“Kita dibanjiri dengan mudah tunai dan lebih banyak dijangka akan masuk. Aliran masuk asing bagi minggu ini adalah lebih baik, yang bermakna kita berada di landasan untuk kembali kepada keadaan normal,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim percaya reaksi spontan kepada penurunan penarafan kredit negara itu hanya sementara waktu sahaja.

“Kemungkinan hasil bon bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia akan turun kerana ramai pelabur beralih kepada pasaran bon.

“Ringgit juga dijangka terjejas tetapi keadaan dijangka pulih segera selepas itu,” katanya sambil menambah kekalutan politik tempatan kemungkinan akan menjejaskan sentimen di Bursa Malaysia.

Pada Jumaat, sentimen pasaran terjejas selepas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu  gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) awal hari ini.

Selain itu, Adam berkata sebarang perkembangan berkaitan vaksin COVID-19 turut akan dipantau dengan rapat.

Semasa minggu yang baru berakhir ini, perkembangan vaksin dan harga minyak mentah memberi pengaruh besar kepada prestasi saham tempatan.

Pasaran memberikan reaksi negatif selepas pengeluar ubatan Pfizer Inc mengurangkan sasaran pelancaran vaksin COVID-19nya. Awal minggu ini, United Kingdom mengumumkan penggunaan vaksin Pfizer bagi kegunaan kecemasan di negara itu bermula minggu depan.

Pasaran minyak turut mendapat rangsangan dengan harga minyak mentah penanda aras Brent meningkat hampir kepada US$50 setong selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu-sekutunya bersetuju mengurangkan pengeluaran pada jumlah yang lebih rendah daripada yang dijangkakan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, Indeks FBM KLCI naik 14.26 mata kepada 1,621.85 daripada 1,607.59.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 198.69 mata kepada 11,740.72, Indeks FBMT 100 naik 172.81 mata kepada 11,493.96 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 238.26 mata kepada 13,507.17.

FBM 70 melonjak 509.16 mata kepada 15,249.55 dan Indeks FBM ACE menokok 35.48 mata kepada 10624.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 281.35 mata kepada 14,517.45, Indeks Perladangan naik 113.51 mata kepada 7349.40 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 11.31 mata kepada 173.79.

Indeks Teknologi naik 2.21 mata kepada 67.14, Indeks Tenaga meningkat 116.45 mata kepada 919.81 dan Indeks Penjagaan Kesihatan susut 43.63 mata kepada 3,922.73.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 54.02 bilion unit bernilai RM31.40 bilion daripada 45.97 bilion unit bernilai RM23.18 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 34.65 bilion saham bernilai 25.85 bilion berbanding 20.46 bilion saham bernilai RM17.16 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 3.72 bilion unit bernilai RM687.85 juta daripada 3.30 bilion unit bernilai RM586.75 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menguncup kepada 15.63 bilion saham bernilai RM4.85 billon daripada 19.39 bilion saham bernilai RM5.40 bilion. – MalaysiaGazette