UALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membawa cadangan pemansuhan semua syarat dan kriteria Skim i-Sinar yang diperjuangkan oleh UMNO kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ketika menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Tunku Alizakri Alias.
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki telah bercakap sendiri dengan Alizakri dan meminta KWSP memansuhkan syarat-syarat dan kriteria yang diumumkan bagi memudahkan urusan rakyat.
”InsyaAllah, beliau respons dan jawab dengan baik dan positif untuk bawa isu ini dan akan berbincang lanjut dengan YB Menteri Kewangan mengenainya. Doakan agar ada natijah yang positif untuk rakyat. InsyaAllah,” katanya dalam komen pada hantaran di Facebooknya hari ini.
Dalam hantaran itu, Asyraf berkata, beliau dan Pemuda UMNO konsisten memperjuangkan pengeluaran Akaun 1 kerana rata-rata rakyat termasuk golongan M40 yang pernah berada dalam kategori T20 juga cemas dengan kelangsungan hidup mereka yang terjejas akibat Covid-19.
”Ada juga suara sinis yang menuduh saya dan Pemuda UMNO sengaja bangkitkan isu i-Sinar KWSP untuk raih populariti. Bahkan ada juga yang dakwa untuk jatuhkan kerajaan.
”Saya hanya boleh katakan kepada mereka, cubalah ambil masa baca semua komen-komen rakyat di ruang-ruang media sosial termasuk status-status di FB Page saya ini. Ini tidak termasuk ribuan mesej yang kami di Sekretariat Pemantau Isu KWSP-PEMUDA UMNO terima melalui dua talian hotline yang disediakan.
”Sebab itulah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia secara konsisten dari awal mengangkat isu ini sebagai salah satu daripada perkara rakyat yang cemas dan tertekan mahukan,” tambah beliau.
Beliau berkata, pelbagai usaha telah kami lakukan termasuklah bersemuka dan menghantar memorandum kepada Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi, Majlis Tertinggi UMNO, Dewan Tertinggi BN dan Ahli-Ahli Parlimen BN untuk diperjuangkan dalam Parlimen.
Ini tidak termasuk melalui semua saluran media, arus perdana, televisyen dan juga media sosial.
Tambahnya, usaha itu termasuk cuba mendapatkan temujanji bersama CEO KWSP sendiri tetapi dua kali temujanjinya dengan Alizakri bagi membawa pandangan rakyat ini dibatalkan.
Asyraf menegaskan, Pemuda UMNO akan terus memperjuangkan isu ini walaupun dituduh dengan pelbagai tohnahan kerana yang penting mendapat manfaatnya. – MalaysiaGazette