Abdullah Husin bercakap pada sidang media khas PAS di Pejabat Badan Perhubungan Pas Negeri Johor, Bandar Baru Uda, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 01 MEI 2018.
Abdullah Husin.

KUALA LUMPUR – Pas Johor akan terus memberikan komitmen kepada kerajaan negeri demi kelangsungan kebajikan dan kepentingan rakyat selepas Belanjawan Johor 2021 diluluskan semalam.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Johor, Abdullah Husin berkata, sokongan terhadap kerajaan negeri itu adalah bagi menunaikan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Katanya, Badan Perhubungan Pas Negeri mengucapkan tahniah kepada kerajaan Johor di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Ir. Hasni Mohammad dengan sokongan sebulat suara daripada kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan ke atas kematangan kesemua ADUN Johor yang membahaskan belanjawan
tersebut secara professional dan terbuka, dengan menumpukan kepada kebajikan dan kemaslahatan rakyat serta mengenepikan perbezaan pegangan politik masing-masing,” katanya menerusi kenyataan kepada media hari ini.

Tambah Abdullah, pihaknya mahu mengucapkan tahniah kepada ADUN tunggal Pas Johor, Kapten (B) Mohd Najib Lep yang telah membawa pandangan dan pendirian Pas Johor berkaitan belanjawan tersebut melalui ucapan perbahasan beliau di dalam sidang DUN tersebut.

Semalam, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan Belanjawan Johor 2021.

Meskipun situasi politik yang panas di Perak nampaknya tidak mengheret ke DUN berkenaan.

Dengan kelulusan itu, ia sekaligus menepis dakwaan bahawa kedudukan Hasni goyah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast