Halimah Mohamed Sadique

KUALA LUMPUR – Satu jawatankuasa ibadat akan ditubuhkan bagi mengenal pasti rumah ibadat yang berdaftar dan tidak berdaftar di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, penubuhan jawatankuasa itu akan melibatkan kementeriannya.

Langkah itu bagi menentukan tindakan susulan berdasarkan perundangan yang akan diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

“Saya telah pun berbincang dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) dan kerajaan tempatan berkaitan penubuhan satu jawatankuasa ibadat dengan melibatkan sekali Kementerian Perpaduan Negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (PH-Rasah), Cha Kee Chin yang meminta beliau mengulas mengenai isu perobohan kuil di Kedah.

Pada Selasa lalu, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah yang dikatakan tekah mencecah usia lebih 50 tahun.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu, rumah ibadat yang dibina mesti mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.- MalaysiaGazette