Datuk Takiyuddin Hassan. foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Pas mengubah pendiriannya sebelum ini dengan mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Perak menghadap Sultan Nazrin Shah.

Dalam kenyataan tiga perenggannya, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan terutama jika ianya bersabit dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan.

“Pas sebagai sebuah parti yang sentiasa menghormati dan menjunjung kedaulatan institusi beraja sentiasa memastikan selayaknya sebarang urusan yang berkaitan dengannya perlu ditekuni dengan penuh teliti dan beradab,” katanya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas akan berusaha dan berikhtiar bersama rakan parti Perikatan Nasional untuk menyelesaikan kemelut politik Perak secara berhemat dan terbaik demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Semalam Sultan Nazrin Shah menitahkan wakil daripada ADUN Bersatu dan Pas menghadap baginda berhubung kemelut politik negeri itu.

Sultan Nazrin titah wakil ADUN Bersatu, PAS menghadap

Perkara itu dinyatakan oleh ADUN Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Beliau berkata, pihak istana sedang menunggu wakil-wakil daripada kedua-dua parti untuk menghadap Sultan Nazrin pada bila-bila masa bagi mendengar pendirian mereka tentang penubuhan kerajaan negeri yang baharu.

Bagaimanapun Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, pihaknya membatalkan pertemuan tersebut atas alasan tidak mempunyai sebarang keputusan untuk dipersembahkan kepada baginda.

Pas batal keputusan mengadap Sultan Perak?

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lepas setelah gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehari sebelumnya.

Menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baharu), Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri adalah sebanyak 30. – MalaysiaGazette