KUALA LUMPUR – Amalan tabdir urus korporat TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) yang mengendalikan rangkaian hotel milik Tabung Haji (TH) adalah kurang memuaskan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 1.

Penemuan audit mendapati hanya seorang daripada empat Lembaga Pengarah adalah berstatus bebas dan tiada seorang pun daripada mereka mempunyai pengalaman dalam industri perhotelan yang boleh membantu dalam pengurusan operasi THHR dengan lebih berkesan.

“Perkara ini mempengaruhi keupayaan Lembaga Pengarah memberi pandangan dan nasihat bersesuaian terhadap operasi syarikat yang tidak mencapai sasaran dan penetapan pengurusan risiko dalam pelan perniagaan syarikat.

“Ketiadaan pengarah bebas yang mempunyai latar belakang pengalaman industri perhotelan boleh memberi kesan kepada perancangan hala tuju syarikat dalam mencapai objektifnya,” menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Justeru LKAN mengesyorkan supaya amalan tadbir urus korporat berkaitan komposisi Lembaga Pengarah yang seimbang dipertingkatkan bagi mengelakkan risiko konflik kepentingan serta mempertimbangkan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah yang mempunyai pengalaman dan latar belakang industri berkaitan.

Selain itu, laporan itu mendapati prestasi sebenar pendapatan THHR bagi 2016 hingga 2019 melalui tiga hotel iaitu TH Hotel Kelana Jaya, TH Hotel Penang dan TH Hotel Kota Kinabalu, tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

Bagi tempoh itu, pendapatan sebenar yang dicapai tiga hotel itu antara RM16.48 juta hingga RM18.68 juta iaitu 56.9 hingga 60.9 peratus berbanding sasaran.

“Kadar pengisian bilik yang rendah memberi kesan kepada hasil pendapatan syarikat. Justeru laporan itu mengesyorkan usaha mempertingkatkan pendapatan melalui promosi dan pemasaran yang lebih efektif secara berterusan bagi memastikan hotel di bawah pengurusan THHR mampu bersaing dengan hotel lain,” menurut laporan itu.  – MAlaysiaGazette

1 Komen

  1. Betul. Hotel TH sangat kurang promosi. Sepatutnya boleh approach agensi kerajaaan tawarkan pakej seminar, pakej percutian utk kakitangan awam. Lokasi hotel semua menarik. Jika masing2 dok harap pelanggan nak walk in saja, mmg tak kemana laaa. Mana ada hotel yg buat bisnes tanpa promosi proaktif.

Comments are closed.