KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini mengingatkan ahli politik di negeri itu yang punca kuasa yang dimiliki mereka adalah bersumberkan Allah, yang memberi kekuatan, perlindungan dan benteng ketahanan.
Bagaimanapun, titah baginda, pemimpin yang sombong dan bongkak selepas berada di atas selalunya dalam kerugian dan tidak mendapat restu Allah dalam kehidupannya.
Sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata tidak lagi dikota atau kata akan bertukar nada – berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih, dan yang putih itu hitam.
“Watak sebenar insan akan terpamer apabila seseorang telah memiliki kekayaan dan harta, lalu lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diridi sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.
“Perubahan sifat dan pertukaran watak lebih cepat berlaku apabila seseorang itu mula dikelilingi orang-orang tamak berkepentingan sendiri, bermuka-muka, membisikkan kata-kata pujian dengan niat tersirat, lalu menyalahgunakan hubungan dengan pemimpin,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak yang ke-14 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.
Sultan Nazrin Shah berkenan menerima pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan dari UMNO, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar yang baharu bagi pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak.
Saarani melafazkan angkat sumpah itu pada jam 11.18 pagi.
Baginda mengingatkan pemimpin politik, bahawa semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak.
Justeru, titah baginda, jangan sesekali membenarkan diri leka, terawang-awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan.
“Setelah Allah mengangkat darjat seseorang, amalkan sifat bersyukur kepada Ilahi dengan melakukan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar.
“Amalkan budaya berterima kasih kepada insan yang telah membantu membolehkan kejayaan kita, bermula daripada ibu-bapa, kaum keluarga, ustaz di surau, imam di masjid dan guru di sekolah, jiran tetangga, rakan kenalan dan masyarakat sekitar.
“Sesungguhnya, kuasa dan jawatan yang dipinjamkan Allah hendaklah diterima sebagai tanggungjawab yang telah diamanahkan, berpandukan peringatan Ilahi melalui ayat 72 Surah Al-Ahzaab,” titah baginda.
Sultan Nazrin Shah turut menitahkan, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) dua tahun lalu, sudah tiga kali istiadat pelantikan Menteri Besar dilakukan, iaitu perkara yang mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri sebelum ini.
Bagaimanapun, perkara itu bukan sejarah yang mahu dibanggakan kerana ia akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan, bukannya kejayaan.
“Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat.
“Setiap ahli Dewan Negeri dipilih kerana rakyat mempercayai anda. Rakyat meletakkan harapan bahawa anda dapat membantu untuk menambah baik kawasan tempat tinggal mereka, menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmatan, meningkatkan taraf ekonomi mereka, serta memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial mereka.
“Rakyat dalam semua kawasan Dewan Negeri, sama ada diwakili ADUN PN atau PH, sama ada orang Melayu, Masyarakat Orang Asli, Cina dan India, begitu juga penganut Islam, Kristian, Hindu dan Buddha serta yang berpegang kepada pelbagai kepercayaan, mempunyai keperluan sama, menanggung penderitaan sama, memiliki harapan sama dan menagih perhatian sama,” titahnya.
Titah baginda, semua itu adalah makhluk ciptaan Ilahi dan rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, yang mahukan sebuah negeri aman makmur, dengan pemerintahan melaksanakan keadilan dan membina kerukunan agar rakyat hidup dalam semangat saling menghormati penuh harmoni.
Rakyat jelata, titah sultan lagi, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.
“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Allah, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi dendam dan pemikiran politik yang jumud.
“Tanggungjawab dan amanah tidak harus sama sekali dipandang ringan atau diringankan. Jadikanlah panduan peringatan Allah yang terkandung dalam ayat 72 Surah Al-Ahzaab.
“Amanah diserahkan akan dinilai Allah pada hari kebangkitan di Mahkamah Rabbuljalil, ketika lidah manusia sudah tidak boleh berdolak-dalik, ketika insan tidak akan ada peguam bela, melainkan amal makruf yang sempat dilakukan semasa hayat di dunia,” titahnya.
Baginda berharap, setiap rakyat negeri itu, dari Sultan yang bertakhta di singgahsana pemerintahan hingga kepada rakyat jelata di serata negeri, dilimpahi Nur Ilahi, menyinarkan panduan ketika memenuhi amanah. – MalaysiaGazette
Titah yang sungat baik kepada semua…