ACP Abd. Khalid Othman

SUBANG JAYA – Lelaki yang menikam perut anak perempuannya yang berusia setahun setengah di Flat Puchong Permai pada Sabtu dipercayai mengalami tekanan perasaan selepas ditinggalkan isterinya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, hasil saringan ujian air kencing turut mendapati lelaki berkanaan positif dadah methamphetamine.

“Puncanya tekanan perasaan ditinggalkan isteri dalam masa yang sama menagih dadah,” katanya kepada media selesai Operasi premis loteri haram di sini hari ini.

Tambah beliau suspek yang berusia 27 tahun itu kini direman selama lima hari sehingga 17 Disember 2020.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Pada jam 4 petang semalam, seorang lelaki mengamuk dan didakwa menikam perut anaknya yang berusia 18 bulan.

Polis berjaya merampas sebilah pisau pemotong roti yang disyaki digunakan untuk menikam anak perempuannya.

Kejadian berlaku di rumah kedua ibu bapa lelaki berkenaan.

Sebelum itu, tular video berdurasi 30 saat yang memaparkan suspek ditangkap dan dibawa turun dalam keadaan dipegang kaki dan tangan oleh tiga anggota polis menuruni tangga.

Dalam pada itu Khalid memaklumkan anak lelaki berkenaan kini dalam keadaan stabil di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dipindahkan dari Hospital Serdang malam tadi. -MalaysiaGazette