Kamaruddin Jaafar

KUALA LUMPUR – Penduduk Parlimen Bandar Tun Razak (BTR) bertuah dan pastinya bersyukur apabila mendapat perhatian serta sumbangan tidak henti-henti daripada wakil rakyatnya, khusnya ketika penularan pandemik Covid-19.

Menyedari perkara tersebut, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar turun hampir setiap hari bagi menyantuni penduduk kawasan itu.

Terbaru beliau menyumbang lima kilogram beras kepada setiap penduduk di BTR.

Kamaruddin berkata, pandemik Covid-19 bukan sahaja telah memberi kesan kepada kesihatan, malah ekonomi keluarga dan individu turut menerima tempias.

“Saya tahu kerana selalu sangat turun kawasan, dengar sendiri rintihan mereka, saya pastikan tidak kira bagaimana sibuknya saya, saya perlu prihatin dengan nasib pengundi saya terlebih dahulu.

“Ramai hilang kerja, hilang pendapatan. Ke manakah hala tuju mereka, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Menurut beliau, malah terdapat penduduk di kawasan tersebut tidak mempunyai makanan asas, seperti beras dan minyak masak, yang mencukupi.

Ujar beliau, apa yang perlu dilakukan oleh peserta Program Bantuan Beras 2020 ialah hadir ke pusat khidmat BTR dengan kad pengenalan serta bil air atau bil api untuk mengambil sumbangan yang diperuntukan itu.

“Program ini akan dilakukan sehingga hujung tahun dan seandainya ada keperluan akan diteruskan inisiatif ini.

“Harapan kita dengan usaha kecil ini ianya dapat memastikan penduduk dalam Parlimen BTR ini mencapai sasaran sifar berada dalam keadaan terdesak sehingga tidak ada makanan asas langsung,” katanya.

Selain daripada beras, Kamaruddin turut menyumbang pelitup muka, cecair pencuci tangan. – MalaysiaGazette