Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KUALA LUMPUR – Para pengguna khususnya golongan M40 dan T20 digalak membeli barangan bukan keperluan buatan Malaysia bagi membantu para peniaga kecil dan merancakkan ekonomi negara dalam era pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Unit Komunikasi Korporat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Yunus Tasim berkata, peniaga kecil seperti mereka yang menyewa ruang jualan di pusat membeli-belah termasuk berniaga secara pop-up stall perlu dibantu kerana golongan ini paling terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

“Sejak pelaksanaan PKP, jualan barangan bukan keperluan terjejas teruk kerana orang ramai takut untuk berbelanja dan keluar membeli-belah.

“Jualan barangan keperluan di pasar raya besar mencatatkan peningkatan sejak PKP kerana orang ramai banyak menghabiskan masa dengan masak sendiri dan makan di rumah pada waktu itu,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program temu bual Bernama Radio di sini, hari ini.

Menurut Yunus, antara sektor bukan barangan keperluan yang terjejas teruk ekoran pelaksanaan PKP adalah gaya hidup termasuklah pakaian, beg tangan, kasut, aksesori dan perabot.

Justeru, golongan M40 dan T20 khususnya, harus menyokong usaha memulihkan ekonomi negara dengan berbelanja supaya tidak banyak premis perniagaan ditutup dan ramai pekerja anak tempatan berisiko hilang pekerjaan, katanya.

Yunus berkata, rakyat perlu berani keluar rumah untuk berbelanja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 bagi membantu memulihkan ekonomi Malaysia yang dijangka pulih menjelang pertengahan kedua 2021.

“Yang penting adalah berbelanja untuk Malaysia. Apabila wang bertukar tangan ekonomi negara kembali rancak dan pemulihan ekonomi boleh dicapai,” katanya.

Yunus berkata, kebenaran untuk merentas negeri sejak 7 Disember lalu dan PKPB di beberapa negeri yang berakhir pada 6 Disember lepas, mula menunjukkan tanda positif apabila hotel mula penuh dan orang ramai dilihat di pusat membeli-belah, terutama mereka yang meraikan sambutan Hari Krismas. – Bernama