Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada Program Dana Penjana Nasional di Blok 9, Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pelan Pemindahan Pengetahuan (KTP) yang diwujudkan oleh Penjana Kapital dijangka mampu mencipta sekurang-kurangnya 1,800 pekerjaan berkemahiran tinggi menerusi projek-projek syarikat-syarikat pelaburan (investee companies) atau melalui pemindahan pengetahuan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, sasaran itu adalah sejajar dengan matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi berteraskan pengetahuan yang menawarkan produk dan perkhidmatan dengan nilai tambah.

Ketika mengumumkan nama lapan syarikat pengurus dana modal teroka yang membantu Penjana Kapital mencapai sasarannya, beliau sekali lagi memberi penekanan terhadap komitmen kerajaan dalam menyokong pelaburan berimpak tinggi kepada negara.

“Merenung kembali, Malaysia telah lama menjadi pilihan dalam kalangan pelabur dan dianugerahkan dengan ekosistem yang kukuh merangkumi modal insan yang pelbagai, infrastruktur fizikal dan digital utama, dasar-dasar kerajaan yang menyokong serta pasaran pelbagai etnik,” katanya semasa menyampaikan ucapan semasa Majlis Penyerahan Surat Anugerah Penjana Kapital hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, lapan pengurus dana modal teroka yang telah dipilih oleh Penjana Kapital itu adalah dari Amerika Syarikat, Korea, China, Indonesia dan Singapura.

Mereka akan melabur dalam syarikat permulaan Malaysia sebagai sebahagian daripada Program Dana Penjana yang bernilai RM1.2 bilion.

Kesemua lapan pengurus dana modal teroka dan rakan kongsi tempatan mereka dipilih setelah melalui proses penilaian yang ketat dan proses due diligence oleh Panel Pelaburan Penjana Kapital.

Mereka telah dipilih untuk tahap kitaran hidup modal teroka yang berlainan seperti berikut:

 

Peringkat Pembiayaan Pengurus Modal Teroka
Seed Immersion Ventures Inc (IMO Ventures) /

Tenggara Capital Sdn Bhd

Seed The Hive Southeast Asia /

Tuas Capital Partners Sdn Bhd

Series A & B KB Investment Co., Ltd /

RHL Ventures Sdn Bhd

Series A & B AC Ventures / Translink Capital LLC /

Vertex Force Sdn Bhd

Growth Emissary Capital Sdn Bhd /

SB Kaikaku Fund

Growth CMIA Capital Partners /

Bintang Capital Partners Bhd

Venture Debt Hanwha Asset Management Co., Ltd /

KAF Investment Bank

Venture Debt Crewstone International Sdn Bhd /

Bradbury Group

 

Antara syarat utama yang ditetapkan bagi pengurus dana VC terpilih adalah keperluan untuk mencapai penanda aras prestasi kewangan serta rancangan pemindahan pengetahuan untuk memberi manfaat kepada ekosistem VC tempatan.

Rancangan pemindahan pengetahuan diharapkan dapat memberi manfaat dan pengembangan bakat dalam industri pengurus dana VC, syarikat permulaan dan juga masyarakat umum secara keseluruhan.- MalaysiaGazette