Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bergambar dengan rakan kongsi yang menyertai “mQuit Services” selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelanjutan Perkhidmatan Rawatan Berhenti Merokok “mQuit Services” di Dewan Armada, Marina Putrajaya, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Pelbagai inisiatif dilakukan oleh kerajaan dengan kerjasama swasta bagi membantu perokok berhenti merokok.

Antara inisiatif itu ialah Program Perkhidmatan Rawatan Berhenti Merokok atau lebih dikenali dengan ‘mQuits Services’ yang diwujudkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama sektor awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, terdapat peningkatan rakyat Malaysia berhenti merokok melalui program tersebut sejak tiga tahun lalu.

Kata beliau, jumlah perokok yang mendaftar untuk berhenti merokok meningkat daripada 10,240 orang pada 2017 kepada 20,032 setahun selepas itu dan 22,601 orang pada tahun lalu.

“Ini sememangnya merupakan satu kejayaan yang sangat memberangsangkan dan boleh dirumuskan ianya adalah hasil kerjasama semua rakan kongsi yang terlibat dalam inisiatif ini.

“Sehingga kini terdapat 198 buah fasiliti swasta berdaftar di Perkidmatan Rawatan Berhenti Merokok, mQuit di seluruh negara dan pastinya ia tidak akan jadi kenyataan tanpa semua pihak terutamanya rakan-rakan kongsi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahamaan Pelanjutan Perkhidmatan Rawatan Berhenti Merokok yang memasuki fasa tiga bersama-sama 13 rakan kongsi.

Antara rakan kongsi itu ialah Universiti Malaya, Akademi Farmasi Malaysia, Johnson & Johnson Bhd, Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd, Translab (M) Sdn Bhd, Health4U Solution Sdn Bhd yang menjalankan aplikasi BookDoc dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

Menurut Noor Azmi lagi, rawatan berhenti merokok adalah selaras dengan obligasi Artikel 14 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC)

“mQuits Services yang masuk fasa ke-3 sejak tahun 2015 akan dilaksanakan selari dengan norma baharu ketika negara sedang menghadapi pandemik Covid-19.

“Mereka yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan berhenti merokok boleh terus mendaftar dan mendapatkan khidmat nasihat secara dalam talian melalui laman sesawang jomquit.com.,” ujarnya. – MalaysiaGazette