Eriksen kini dalam radar Red Devils menjelang jendela perpindahan Januari 2021.

MILAN- Manchester United didakwa meluahkan minat untuk mendapatkan khidmat bintang Inter Milan, Christian Eriksen menjelang jendela perpindahan musim sejuk Januari 2021.

The Red Devils menilai pemain berusia 28 tahun itu sebagai pengganti berpotensi Paul Pogba yang kini dilanda spekulasi meninggalkan Old Trafford.

Laporan di Itali mendakwa bintang antarabangsa Denmark itu bergelut untuk memberi impak sejak meninggalkan Tottenham Hotspur untuk kelab Serie A itu pada Januari lalu.

Inter dilaporkan membuka pintu untuk melepaskan pemain itu mencari kelab baharu untuk menyelamatkan kariernya Januari ini.

Skuad theatre of Dreams dikatakan sudah bersedia mengemukakan bidaan lumayan untuk merekrut pemain itu ke Old Trafford.

Laporan mendakwa kononnya Inter Milan menuntut yuran sekitar £27 juta untuk melepaskan Eriksen berbanding £17 juta untuk mendapatkan pemain itu dari Spurs.

Selain Man United dua lagi kelab Eropah yang mengintai perkembangan pemain itu adalah Paris Saint Germain dan Arsenal.

Pengurus Inter, Conte mengakui kelab bersedia melepaskan beberapa pemain ke kelab lain secara pinjaman untuk memastikan mereka mendapat lebih masa beraksi untuk mengekalkan prestasi.