Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA -Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Sumber Manusia bagi mengesan sebuah syarikat subkontraktor yang memalsukan maklumat saringan Covid-19 dengan memasukkan nama pekerja lain di dalam keputusan ujian yang dilakukan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sudah dimaklumkan oleh seorang doktor dari sebuah klinik swasta di Rawang berhubung kejadian itu,

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada doktor berkenaan yang membuat laporan mengenai penipuan oleh syarikat berkenaan.

“KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Sathia atas tindakannya membuat laporan polis,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terbaharu Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham mengingatkan bahawa polis mempunyai kebolehan melalui unit risiknya yang hebat untuk menyiasat kes ini.

Noor Hisham berkata demikian selepas ditanya wartawan mengenai laporan polis yang dibuat sebuah klinik swasta di Rawang apabila mendakwa majikan sebuah syarikat memalsukan maklumat saringan Covid-19 pekerja mereka.

Syarikat terbabit dikatakan hanya menghantar beberapa pekerja sahaja untuk menjalani ujian saringan sebelum dikesan memalsukan dokumen asal keputusan saringan dengan memasukkan nama pekerja lain yang tidak menjalani ujian.

Mengulas lanjut Noor Hisham mengingatkan makmal-makmal swasta yang menjalankan ujian saringan Covid-19 supaya mematuhi standard yang telah ditetapkan oleh KKM.

Katanya, jika terdapat klinik swasta yang cuba memalsukan maklumat saringan Covid-19, mereka telah melakukan kesalahan dan tindakan boleh diambil menerusi Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988)  dan boleh dikenakan tindakan di bawah akta-akta yang lain.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham memaklumkan kelewatan beberapa pesakit positif dibawa menjalani rawatan di hospital disebabkan maklumat dari makmal swasta yang tidak diintegrasi dengan sistem data KKM.

Katanya, sekiranya maklumat berkenaan diintergrasi dengan Pejabat Kesihatan Daerah, tindakan segera seperti menghantar ambulans untuk mengambil pesakit akan dijalankan.

“Ada juga beberapa masalah berlaku kerana kelewatan KKM menerima keputusan daripada makmal ujian swasta.

“Jadi saya nasihatkan mereka yang positif agar terus kekal berada di rumah sementara menanti tindakan selanjutnya daripada KKM,” katanya. – MalaysiaGazette