Gambar hiasan

BENGALURU – Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) memberitahu, dos lebihan daripada botol vaksin Covid-19 keluaran Pfizer Inc masih boleh digunakan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas terdapat laporan media yang mengatakan dos-dos lebihan daripada botol berkenaan akan dibuang oleh ahli farmasi berikutan kekeliruan pada label.

Sebelum itu, Stat News melaporkan farmasi-farmasi hospital menjangkakan mereka terpaksa membuang satu daripada enam dos vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech yang bakal diedarkan minggu ini di AS kerana terdapat kekeliruan pada label.

Berdasarkan label, setiap botol sepatutnya mengandungi lima dos sahaja tetapi ahli-ahli farmasi menemui jalan untuk mendapatkan dos keenam atau ketujuh.

Namun begitu, tanpa kelulusan jelas daripada pengeluar, dos tambahan itu perlu dibuang.

“Berikutan darurat kesihatan ketika ini, FDA menasihatkan supaya setiap dos daripada setiap botol digunakan (sama ada dos keenam atau dos ketujuh).

“Namun begitu, disebabkan botol-botol berkenaan adalah bebas bahan pengawet, penting untuk diingatkan bahawa baki produk yang tidak mencukupi untuk membentuk satu dos penuh tidak boleh dicampurkan dengan vaksin daripada botol-botol yang lain,” katanya dalam satu kenyataan. – Agensi