Mohd Redzuan Md. Yusof

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa membuat penelitian dalam pelbagai aspek, sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaan sekatan pergerakan dibuat sama ada di peringkat daerah, negeri atau seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, dalam menangani pandemik Covid-19, kerajaan mengambil langkah-langkah mengekang penularan jangkitan wabak tersebut berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, penelitian dibuat melalui perbincangan menyeluruh dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan khususnya melalui mekanisme Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ia termasuk Pengurusan Covid-19 dan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang diadakan hampir setiap hari sejak pandemik ini melanda negara kita,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Redzuan berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen (PH-Ledang), Syed Ibrahim Syed Noh yang meminta perdana menteri menyatakan pendirian kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19, antaranya tidak mahu menyekat pergerakan rakyat seperti kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan).

Beliau turut bertanya mengenai kenaikan kes Covid-19 dan pembukaan ekonomi serta apakah perbezaan pelaksanaan PKP di beberapa negeri akan mengelirukan rakyat malah boleh menyebabkan sikap sambil lewa.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, penilaian risiko jangkitan Covid-19 yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memainkan peranan penting dalam menentukan tahap keseriusan jangkitan kes yang berlaku di sesuatu tempat.

Jelasnya, antara faktor yang diambil kira dalam penilaian risiko jangkitan itu meliputi kadar peningkatan kes, taburan kes positif, kepadatan penduduk, kewujudan tempat-tempat awam dan keadaan sosiodemografi penduduk.

Tambah beliau, satu lagi penelitian yang dibuat oleh kerajaan sebelum keputusan pelaksanaan PKP dibuat adalah penilaian daripada segi analisis kos, kemampuan tenaga kerja dan faedah pelaksanaannya yang tertumpu kepada aspek kesihatan awam.

Katanya, kerajaan telah melaksanakan tindakan pengurusan pandemik Covid-19 secara menyeluruh dan bersepadu melibatkan tindakan di peringkat jentera kerajaan serta menggembeling peranan rakyat dalam memelihara diri, keluarga dan komuniti. – MalaysiaGazette