Dua lelaki dipercayai mencuri lori berjaya ditahan oleh peronda lebuhraya Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga!

Itu perumpamaan kepada dua lelaki yang mencuri sebuah lori di Selayang di sini semalam dan cuba melarikannya namun akhirnya ditahan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Perak.

Dalam satu kenyataan, Peronda Lebuh Raya Sektor 8, Utara 4 (Tapah-Tanjung Malim) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman yang terlibat dalam rondaan menerima maklumat kecurian lori itu dari  Pusat Kawalan Polis Daerah Muallim.

Bertindak atas maklumat itu, anggota trafik berjaya mengesan kedudukan lori curi di Kilometer 291.6 arah utara di Lebuh Raya PLUS.

Mereka turut dibantu unit MPV Utara 3 dan Peronda Ipoh-Tapah.

Lori itu berjaya dihalang di lebuh raya sebelum dua suspek lelaki rakyat tempatan itu berjaya ditahan bersama lori yang dicuri.

Mereka dibawa semula ke Ibu Pejbat Polis Daerah Gombak untuk tindakan lanjut.-MalaysiaGazette