Tajuddin Abdul Rahman

SUBANG – Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mencatatkan pertambahan penumpang sebanyak 10 peratus sejak awal Disember ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, peningkatan itu merupakan kesan positif selepas kerajaan melonggarkan pergerakan rentas daerah dan negeri baru-baru ini.

“Ada peningkatan, sebanyak 10 peratus,” ringkas katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, beliau hadir di Kompleks Rapid Rail Subang bagi melancarkan aplikasi terbaharu Prasarana Planning Ypur Lifestyle Efficiently (PULSE).

Untuk rekod, kerajaan mengumumkan kelonggaran pergerakan dengan membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri di seluruh negara pada 7 Disember lalu.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaras dengan keputusan tersebut, polis kini tidak lagi ditugaskan melakukan sekatan jalan raya (SJR) sebagaimana sebelum ini.

Bagaimanapun, ujarnya kebenaran itu terkecuali untuk mereka yang tinggal di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – MalaysiaGazette