Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, Datuk Zainuddin Yaacob bercakap di sidang media mengenai kejayaan tangkapan sindiket penipuan pelaburan Aliexchange dan sindiket penipuan pelaburan Goldmine International ketika di Menara KPJ, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Dengan menawarkan kadar keuntungan antara 5 hingga 15 peratus, seramai 27 pelabur tempatan menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan melibatkan kerugian lebih RM4.7 juta sejak ia mula beroperasi pada Mac hingga Oktober tahun lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, bagi meyakinkan mangsa, sindiket telah mengupah warga Eropah sebagai penceramah bagi mengadakan seminar di hotel di beberapa negeri.

Untuk lebih meyakinkan mangsa, sindiket ini menggunakan platform dagangan matawang krpto, dikenali sebagai AliCoin yang mana pelabur diberi akses melalui aplikasi AliExchange yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store.

“Keuntungan yang dijanjikan adalah 5 hingga 15 peratus sebulan berdasarkan jumlah pelaburan yang dibuat.

“Mangsa dikehendaki membeli AliCoin (matawang digital) dengan harga RM4.70 bagi setiap satu AliCoin.

“Jumlah minimum yang ditawarkan sebanyak 10,000 AliCoin bersamaan dengan nilai RM47,000,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, hari ini.

Susulan itu, pihaknya telah menangkap sembilan suspek warganegara Singapura berusia 32 hingga 59 tahun di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur, pada 14 Disember lalu.

“Dalam serbuan bermula kira-kira jam 8.50 pagi hingga 12.50 tengahari itu, pihak polis turut menangkap seorang lelaki disyaki perancang utama sindiket itu.

“Polis turut merampas lima kereta mewah, 11 telefon bimbit, 20 kad ATM pelbagai bank, dua kad kredit, empat tablet, lima komputer riba, satu hard disk, seutas jam mewah, pelbagai dokumen pelaburan AliExchange dan wang tunai dengan nilai rampasan mencecah hampir RM2 juta,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Undang-Undang memperuntukkan hukuman sehingga 10 tahun penjara dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

“Pihak polis juga akan mengambil tindakan diambil di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA),” jelasnya.

Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan testimoni dan janji-janji tawaran keuntungan lumayan dalam masa singkat.

“Sebaliknya hanya tiga pelaburan Bitcoin di Malaysia yang diberi lesen oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang boleh dipercayai.

“Antaranya ialah LUNO (M) Sdn Bhd, Tokenize Technology (M) Sdn Bhd dan Sinergy Technologies (M) Sdn Bhd,” katanya. – MalaysiaGazette