Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) semasa Istiadat Pengebumian Negara ibunya, Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah, balu kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein selamat disemadikan dan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, kira-kira 3.30 petang ini.

Jenazah Tun Rahah, 87, disemadikan bersebelahan pusara kakaknya, Tun Suhailah Mohamed Noah, balu kepada Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn, yang meninggal dunia pada 4 Okt 2014.

Solat jenazah, tahlil serta bacaan talkin dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Husni.

Allahyarhamah merupakan ibu kepada Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Istiadat Pengebumian Negara ibunya, Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 DISEMBER 2020.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah bersama-sama anggota keluarga Allahyarhamah menyaksikan perjalanan terakhir Tun Rahah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa menteri Kabinet, antaranya Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut menghadiri istiadat pengebumian itu.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes juga memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Istiadat pengebumian berlangsung dalam keadaan cuaca mendung, seakan turut berduka dengan pemergian srikandi negara itu. Wajah-wajah pilu jelas kelihatan dalam kalangan hadirin yang mengiringi perjalanan terakhir Allahyarhamah di  Lingkaran Makam Pahlawan.

Istiadat turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Usai tahlil dan bacaan talkin, Tunku Azizah memulakan upacara menyiram air mawar diikuti oleh Muhyiddin dan Najib serta anggota keluarga Allahyarhamah yang lain.

Ini diikuti upacara penyerahan bendera Malaysia oleh Mohd Sallehhuddin kepada Najib, menandakan selesai Istiadat Pengebumian Negara Tun Rahah.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah dibawa dari kediamannya di Jalan Eaton di sini ke Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinchi untuk dimandikan dan dikafankan serta diberikan penghormatan terakhir.

Solat jenazah disempurnakan sejurus usai solat zuhur dan jenazah kemudian dibawa ke tempat persemadian di Makam Pahlawan yang terletak bersebelahan Masjid Negara.

Sebaik tiba di Masjid Negara kira-kira 2.15 petang, jenazah Allahyarhamah disembahyangkan sekali lagi di Dewan Solat Utama masjid itu.

Tun Rahah meninggal dunia petang semalam selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court.

Allahyarhamah yang dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor merupakan puteri bongsu kepada tokoh politik tanah air Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar.

Tun Rahah mendirikan rumah tangga dengan Tun Abdul Razak Hussein pada 4 September 1952 dan mereka dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Datuk Seri Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam serta Datuk Mohamed Nazim.

Pelbagai darjah kebesaran, anugerah dan pengiktirafan diterima Allahyarhamah sepanjang hayatnya, termasuk Darjah Seri Setia Mahkota daripada kerajaan persekutuan pada 1976 yang membawa gelaran ‘Tun’, Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Anugerah Srikandi daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia selain Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) daripada Universiti Utara Malaysia. – Bernama