Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung perbincangan pengagihan kerusi pilihan raya di antara UMNO dan Pas tidak lagi membabitkan dua parti itu kerana Pas sudah secara rasmi menyertai Perikatan Nasional (PN) mungkin telah di salah ertikan.

Menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, Asyraf yang juga Ketua Pemuda UMNO tidak bermaksud UMNO tidak akan berunding dengan Pas berhubung pembahagian kerusi.

Sebaliknya kata Menteri Wilayah Persekutuan itu, UMNO sememangnya mempunyai hubungan baik dengan Pas atas nama Muafakat Nasional (MN), malah sudah membuat rundingan serta mesyuarat tentang pembahagian kerusi.

“Tiap dua minggu kita bermesyuarat dengan Pas, kita ada persefahamaan yang baik tentang pembahagian kerusi juga. Yang dimaksudkan oleh Dr Asyraf itu ialah rundingan secara formal.

“Kita hormat Pas sebagai sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN). Itu maksudnya, kadang-kadang kenyataan yang dikeluarkan tidak digambarkan seperti yang dimaksudkan. Saya pasti itu bukan maksud Dr Asyraf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr Asyraf bahawa pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan UMNO dengan PAS, tetapi BN dengan PN kerana PAS sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponennya.

Kenyataan Dr Asyraf yang ditulis di laman Facebooknya juga mengundang persoalan mengenai kerjasama politik UMNO dan PAS melalui MN yang berasaskan piagam dimeterai pada September 2019.

Dakwa Dr Asyraf, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Dewan Tertinggi BN sudah membuat keputusan jelas mendokong kerajaan PN sehingga PRU-15 dan tidak sesekali bersetuju untuk menyertai PN sebagai komponen.

Kata Annuar Musa lagi, ketika ini rundingan masih lagi berjalan dengan peringkat-peringkat seterusnya.

“Rundingan pada mulanya perlu melalui parti, Pas terlibat atas platform PN, serupa juga dengan UMNO. Kita perlu perlu berunding dengan MCA, MIC, PBRS, ada kerangka peringkat pemandu dan perunding.

“Jangan buat gambaran atau menulis laporan dengan kefahamaan tidak menyeluruh,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Kelangsungan PN bergantung persefahaman agihan kerusi

1 Komen

  1. Annuar Musa yang sibuk sangat pasal apa. Ini soal hubungan UMNO/PAS. Awak tu SUA BN, bukan SUA UMNO. Kenapa galak sangat menyibuk menyamun tugas dan tanggung jawab SUA UMNO. Awak tiada sevabg jawatan dalam UMNO, sila duduk diam. Yang dok jadi Baruah Bersatu pasal apa?!

Comments are closed.