ROSOL WAHID
Rosol Wahid

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengenal pasti syarikat kartel yang disyaki melakukan label halal palsu.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, bagaimanapun atas nasihat Timbalan Pendakwa Raya, pihaknya terpaksa mengunci mulut sehingga pendakwaan selesai dilakukan dalam masa terdekat ini.

”Kita beri jaminan, jangan bimbang tentang isu ini. Kita telah membuat pemantauan dan terus memantau dengan agresif sekali.

”Setakat ini, kita telah buat 29 pemeriksaan di premis borong serta 130 peruncit, kita bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kastam dan juga peniaga-peniaga itu sendiri.

”Ramai yang curiga, kita ambil perhatian mereka yang terlibat ini dan dalam masa terdekat selepas pendakwaan kita akan dedahkan nama syarikat itu kepada umum. Kita tidak mahu ganggu siasatan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan Krismas 2020 serta Kempen Membeli Barangan Malaysia di Publika Solaris sebentar tadi.

Rosol mengulas pembongkaran taktik kartel disyaki menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.

Kegiatan itu hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.

Berikutan pendedahan itu, MAFI melalui Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berikrar tidak teragak-agak menggantung pemberian permit import syarikat (AP) yang terbabit dengan kartel daging halal palsu.

Rosol juga menafikan masalah daging halal palsu ini sebenarnya telah wujud sejak 40 tahun lepas sebaliknya mendedahkan kerajaan tetap komited dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat.

Jelas beliau, angka 40 tahun menghantui rakyat Malaysia itu sebenarnya tidak betul dan hanya sekadar ‘bombastik’ oleh segelintir pihak.

”Tidak sampai berlarutan sehingga 40 tahun, kita akan ambil tindakan dan tidak pernah berkompromi selama ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette