Pegawai Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Tenaga Kerja Bangi memeriksa asrama pekerja kilang perempuan ketika operasi serbuan di sebuah kilang pembuatan sarung tangan di sekitar Pelabuhan Klang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 24 DISEMBER 2020.

KLANG –

KLANG – Sebuah kilang sarung tangan getah yang berpotensi tinggi untuk berdepan tindakan perintah tutup tujuh hari apabila masa didapati gagal menyediakan penginapan dan penempatan perumahan pekerja asing mengikut Akta 342, bagaimanapun terselamat.

Sebaliknya kilang yang beroperasi di kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang Utara itu hanya dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan gagal mematuhi prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Pegawai Penguatkuasa Kesihatan dan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Illi Syazwani mohd Mashudi ketika dihubungi Malaysia Gazette berkata, syarikat itu telah menunjukkan bukti dokumen yang dituntut oleh pegawai kesihatan semasa pemeriksaan susulan selepas serbuan dan pemantauan pagi tadi.

“Syarikat telah menunjukkan bukti dokumen yang diperlukan oleh pegawai kesihatan kami terhadap segala kelemahan yang dikenalpasti dalam pematuhan SOP di tempat penginapan pekerja asing.

“Oleh itu, tindakan kompaun di bawah Peraturan 10, Akta 342 telah dikeluarkan kepada pihak syarikat.

“Tindakan segera penambahbaikan dalam pematuhan SOP Covid-19 akan dilaksanakan pihak majikan kilang itu dalam tempoh 24 jam,” katanya petang tadi.

Beliau memaklumkan pihaknya juga akan membuat pemeriksaan semula ke atas kilang itu pada hari esok.

“Kita akan ke syarikat itu semula esok untuk pemeriksaan semula bagi memastikan apa yang diarahkan PKD dilaksanakan majikan dalam masa 24 jam nanti,” katanya lagi.

Katanya,setakat ini asrama penginapan pekerja asing sahaja tidak mematuhi SOP membabitkan dua perkara wajib manakala kilang secara menyeluruh mematuhi SOP lain.

“Oleh demikian, kita tidak mengambil tindakan tegas perintah tutup sebaliknya hanya mengenakan kompaun kerana kegagalan ketidakpatuhan kurang tiga perkara seperti ditetapkan kesihatan negeri dan diarahkan menambahbaik segera SOP di tempat penginapan pekerjanya serta-merta,’ ujarnya.

Sekitar jam 10.30 pagi tadi, beliau bersama pasukan kesihatan PKD Klang dan Jabatan Tenaga Kerja Pelabuhan Klang diketuai Timbalan Ketua Pengarah JTK dari ibu pejabat Putrajaya, Mohd Asri Abdul Wahab melakukan pemeriksaan ke atas kilang sarung tangan itu selama empat jam.

Kilang berkenaan didapati gagal melakukan proses nyahkuman berkala, sanitasi penginapan pekerja asing dan bilangan pekerja dalam sesebuah bilik tanpa penjarakan fizikal.- MalaysiaGazette

Kilang sarung tangan gagal patuhi SOP bakal ditutup