Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk membenarkan pergerakan kapal-kapal Non-Convention Ships (NCS) untuk aktiviti penghantaran berkuatkuasa sehingga 15 Januari 2021.

Ia bagi penghantaran lambakan baki stok barangan sedia ada di gudang-gudang di pelabuhan Sandakan dan Tawau.

Sebelum ini Kerajaan Sabah tidak membenarkan kapal-kapal NCS memasuki perairan Sabah bagi tujuan barter trade dan transhipment sebagai langkah
menyekat penularan Covid-19 di negeri itu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negeri Sabah memaklumkan terdapat keperluan untuk membenarkan pergerakan kapal-kapal berkenaan bagi aktiviti penghantaran lambakan baki stok barangan sedia ada.

Dalam pada itu, beliau menjelas kebenaran kemasukan pelajar antarabangsa (kecuali United Kingdom) bagi Institusi Pendidikan Swasta (IPS) ketegori Pusat melibatkan Pusat Bahasa, Pusat Kemahiran, Pusat Latihan, Pusat Tuisyen dan Pusat Perkembangan Minda yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

Kemasukan pelajar ini akan diuruskan oleh pihak Education Malaysia Global Services (EMGS) dan perlu mengikuti garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kebenaran ini akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2021 dan hanya tertakluk kepada pelajar sedia ada yang telah diluluskan permohonan dan telah mendapat visa dari Jabatan Imigresen Malaysia.

Pelajar perlu melakukan ujian saringan Covid19 tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia dan sekali lagi setibanya di pintu masuk negara.

Mereka juga perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang diwartakan oleh kerajaan dan kos ujian calitan Covid-19 dan kuarantin perlu
ditanggung oleh pelajar berkenaan. – MalaysiaGazette