Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 kluster baru dikenalpasti hari ini di enam buah negeri meliputi Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Pahang.

Ia membabitkan kluster Tapak Bina Jalan Seng (Titiwangsa, Kuala Lumpur), kluster Pagar Siput (Kota Tinggi, Johor), kluster Plastik  Subang (daerah Petaling, Klang), kluster Halban (Kota Bharu, Kelantan), kluster Lis Putih (daerah Barat Daya Pulau Pinang), kluster Sentosa Residensi (daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah Pulau Pinang).

Kluster Seragam Chepa (Kota Bharu, Bachok dan Tumpat Kelantan), kluster Pagar Bentong (Pahang), kluster Jalan Asam (daerah Petaling dan Klang), kluster Sungai Redan (Kluang dan Kota Tinggi) dan akhir sekali kluster Semambu (daerah Kuantan Pahang).

Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kluster yang aktif dipantau adalah sebanyak 215 dengan 59 kluster telah melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster- kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Jalan Seng (232 kes), Kluster Tampoi Jaya (218 kes) dan Kluster Penjara Jalan Harapan (156 kes).

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 268 kluster,” katanya dalam kenyataan media harian sebentar tadi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kuala Lumpur melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 728 kes (31.2 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 677 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 aktif yang dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 710 kes (30.4 peratus) dan Johor sebanyak 412 kes,” jelasnya. -MalaysiaGazette