Wisma Putra
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

KUALA LUMPUR- Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil langkah-langkah perlu dalam memastikan keselamatan anggota United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).

Kementerian Luar Negeri berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel ke atas ibu pejabat UNIFIL di Naquora, Lubnan semalam, yang mengakibatkan dua anggota pengaman cedera.

Bagaimanapun katanya, Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 berpengkalan di Tibnin dan Marakah dilaporkan selamat.

“Serangan berterusan yang mensasarkan kakitangan PBB dan orang awam yang tidak bersalah adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berat.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan serangan berterusan oleh Israel dan mendesak Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB termasuk resolusi 1701 (2006).

“Serangan ke atas UNIFIL adalah serangan ke atas Majlis Keselamatan PBB dan terhadap Piagam PBB,” kata Wisma Putra dalam kenyataan malam ini.

Tambah kenyataan itu, Malaysia turut mengutuk serangan udara oleh rejim Zionis Israel ke atas kawasan kediaman yang padat terletak di Ras el-Nabaa dan al-Nuweiri, pusat Beirut yang mengorbankan 22 orang dan mencederakan berpuluh orang yang lain. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast