Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di empat kawasan di Pulau Pinang ditamatkan hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang terlibat penamatan PKPD itu ialah Flat Desa Bistari, Batu Uban, Mukim 13 dan Timur Laut.

“Sebelum ini kerajaan telah melanjutkan PKPD di kesemua kawasan itu yang sepatutnya tamat pada 31 Disember ini.

“Namun sehingga kini, KKM telah selesai melaksanakan saringan ke atas semua penduduk di lokaliti ini dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“KKM turut mengesahkan baki kes positif Covid-19 di lokaliti ini terkawal dan menunjukkan trend penurunan dan atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju menamatkannya hari ini iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Pada 18 Disember lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk melanjutkan PKPD di kesemua kawasan berkenaan di negeri Utara Semenanjung itu sehingga 31 Disember lalu.

Pada 5 Disember lalu, Ismail Sabri menjelaskan bahawa kerajaan melaksanakan PKPD bermula 7 Disember 2020 hingga 20 Disember di di flat di Persiaran Paya Terubong, Relau dan Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban dan Mukim 13. – MalaysiaGazette