KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi veteran, Uji Rashid mendakwa anaknya, Cico Harahap telah diracun oleh oleh rakan-rakannya ketika menghadiri sambutan hari jadi salah seorang rakannya.
Mengimbas kejadian empat tahun lalu itu, Uji memberitahu, racun itu boleh membunuh dalam tempoh empat jam.
Penjelasan Uji sekaligus menolak dakwaan baru-baru ini bahawa anaknya terkena buatan sihir sehingga mengalami penyakit misteri.
“Cico bukanlah disihir, dia telah diracun oleh rakan-rakannya dan doktor menjelaskan terdapat beberapa jenis racun yang dimasukkan ke dalam minumannya.
“Racun berkenaan dikatakan boleh membunuh dalam tempoh empat jam, namun Cico masih diberikan umur yang panjang sehingga sekarang dengan kuasa Allah,” katanya ketika menjadi tetamu Telekung Talk bersama Profesor Datuk Dr. Muhaya Mohamad di Facebook Live pada Khamis.
Menurut Uji, setelah diracun oleh rakannya sendiri, Cico, 41 tahun kemudian ditinggalkan tanpa bantuan sesiapa di tempat kejadian.
Bagaimanapun beliau bersyukur kerana anaknya kini semakin pulih namun berhadapan kesukaran untuk bercakap dan membaca.
“Saya difahamkan racun itu memberikan kesan terhadap otak, organ dalaman dan kotak suaranya. Walau apapun, saya bersyukur Cico sudah semakin pulih, meskipun dia kini mengalami masalah pertuturan, tidak lagi mampu membaca dan menulis dengan baik,” katanya.
Terdahulu Uji berkata, anaknya sakit selepas bertemu dengan rakannya pada 25 Disember 2016. – MalaysiaGazette