Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan tugas untuk megambil tujuh orang warga asing yang disyaki positif Covid-19 untuk dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan lanjut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 17 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 45 kluster telah mencatatkan pertambahan kes positif Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tampoi Jaya (78 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Stadium (63 kes) dan Kluster Beringin (30 kes).

“Sehingga hari ini terdapat sebanyak 484 kluster telah dilaporkan termasuk satu kluster baharu pada hari ini. Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 271.

“Kluster ini termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Kerengge, Kluster Alila, dan Kluster Gemilang.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 213 kluster,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, kluster baharu yang dikenal pasti itu adalah kluster tempat kerja melibatkan daerah Tawau dan Kalabakan di Sabah.

Ujarnya, kes indeks bagi kluster itu iaitu kes ke-92107 yang telah dilaporkan positif Covid-19 pada 20 Disember lalu melalui saringan individu bergejala.

Tambah beliau, sehingga hari ini sejumlah 26 individu telah disaring, di mana 14 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster tersebut. – MalaysiaGazette