Operasi pematuhan yang diketuai melakukan pemeriksaan di kedai makan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 456 individu sepanjang operasi pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam.

Penahanan itu dilakukan atas beberapa kesalahan ingkar arahan PKP seperti aktiviti di pusat hiburan, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan tidak memakai pelitup muka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 421 individu telah dikenakan kompaun, manakala 34 lagi direman dan seorang dijamin.

Katanya, dalam Operasi Benteng kawalan sempadan negara pula, katanya, seramai 57 pendatang asing tanpa izin (Pati) telah ditahan kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Ismail Sabri Yaakob

“Dari tangkapan itu, anggota polis dan tentera turut merampas tiga kenderaan darat, yang dipercayai digunakan untuk menyeludup masuk Pati ke negara ini menerusi lorong tikus.

“Kerajaan tidak akan kompromi, dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

PKP yang dikuatkuasakan 18 Mac lalu telah masuk hari ke 285 dan hari ke 201 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – MalaysiaGazette