Mohd Zawawi Ahmad Mughni

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyarankan kerajaan Persekutuan memanfaatkan sepenuhnya tanah terbiar dengan projek ternakan lembu dan tenusu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, dengan langkah itu, kerajaan boleh mengurangkan kebergantungan kepada negara luar untuk mendapatkan bekalan daging import.

“Tanah terbiar yang ada di seluruh negara ini boleh dimanfaatkan sebagai lokasi penternakan daging lembu dan tenusu.

“Malah, kerajaan wajar bertindak segera untuk mengurangkan kebergantungan ini,” katanya yang dipetik SelangorKini.

Menurut Mohd Zawawi, sumber daging halal tempatan boleh dimajukan dengan adanya dasar baharu mengenai industri makanan halal.

Beliau yakin, jikan tanah terbiar itu diusahakan secara besar-besaran sebagai ladang ternakan, negara boleh menjadi pengeluar utama dalam produk daging tempatan dan halal.

Kata beliau, kerajaan Persekutuan juga wajar memberikan tumpuan kepada agenda agro tani yang diusahakan oleh rakyat tempatan.

“Kerajaan perlu fokus kepada pembangunan pertanian, ternakan dan perikanan yang dimajukan usahawan dalam negara.

“Amatlah rugi sekiranya golongan ini tidak dibantu kerana kita mempunyai sumber yang baik dan mencukupi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkusnya semula dengan menggunakan logo halal di sebuah Gudang di Senai, Johor. – MalaysiaGazette