Penguatkuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya memberi penerangan kepada seorang peniaga semasa Majlis Bandaraya Subang Jaya akan meroboh gerai milik peniaga dan penjaja di Puchong Permai, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 DISEMBER 2020.

PUCHONG – Persatuan Penjaja Puchong Permai hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap Datuk Bandar Subang Jaya, Noraini Roslan yang masih enggan bersemuka dengan 43 penjaja Melayu berhubung isu perobohan gerai makan di Puchong Permai, di sini.

Menurut Pengerusinya, Ismail Awang, lebih mengecewakan apabila Datuk Bandar itu seolah-olah mengingkari arahan Pejabat Menteri Besar Selangor agar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil tindakan susulan.

Pengerusi Persatuan Penjaja Puchong Permai, Ismail Awang bercakap semasa Majlis Bandaraya Subang Jaya akan meroboh gerai milik peniaga dan penjaja di Puchong Permai, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 DISEMBER 2020.

“Menteri Besar balas surat rayuan kami untuk ditangguhkan perobohan dan pada masa sama kita minta MBSJ adakah perbincangan dengan persatuan kami.

“MB ada keluar surah minta buat susulan dengan MBSJ supaya diadakan perbincangan tapi sehingga ke hari ini tiada perbincangan, akhirnya notis tak diberi, mereka terus roboh (gerai makan), kita rasa kecewa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di Puchong Permai, hari ini.

Terdahulu lebih 100 anggota penguatkuasa termasuk MBSJ, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat dalam operasi perobohan gerai-gerai makan milik 43 penjaja kecil di Puchong Permai, di sini.

Operasi yang bermula kira-kira jam 8 pagi tadi bermula agak kecoh apabila sekumpulan penjaja terbabit terpaksa bergelut dengan penguatkuasa yang bertindak melakukan perobohan gerai makan yang diusahakan sejak 20 tahun lalu.

Dalam pada itu, Ismail melahirkan rasa hairan terhadap sikap lepas tangan yang ditunjukkan wakil rakyat kawasan itu, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud.

“Cuma kami hanya nampak Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo ada membantu banyak bagi cadangan sebagainya tapi ADUN Dr Siti Mariah tak nampak pula.

“Seolah-olah ADUN sini enggan layan kami, tak mahu selesaikan perkara ini dengan baik,” katanya.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja Puchong Permai, Yusof Isa bercakap semasa Majlis Bandaraya Subang Jaya akan meroboh gerai milik peniaga dan penjaja di Puchong Permai, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 DISEMBER 2020.

Bagi seorang peniaga, Yusof Isa, 65, dia dan penjaja lain di situ tidak pernah menghalang pembangunan sebaliknya mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit menyediakan kawasan perniagaan yang lebih sesuai daripada kiosk.

“Tempat itu tak sesuai, soalnya prasarana tidak sempurna, tiada tandas, bekalan elektrik dan air tiada, kami mohon gerai tapi mereka bagi kami kiosk, sedangkan orang dalam kiosk pun tak setuju pindah ke sana.

“Kita tak bantah tentang perancangan (pembangunan), kita tak nak pindah sementara supaya MBSJ sediakan tempat dahulu.

“Tapi pihak MBSJ ini tak nak dengar, dua kali taklimat, mereka hanya suruh kami isi borang akujanji dan kini digunakan ke atas kami kononnya kita setuju untuk pindah,” luah Yusof kepada MalaysiaGazette.

Peniaga, Zaliha Yunus, 61, bercakap semasa Majlis Bandaraya Subang Jaya akan meroboh gerai milik peniaga dan penjaja di Puchong Permai, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 DISEMBER 2020.

Sementara itu, bagi seorang peniaga yang juga ibu tunggal, Zaliha Yunus, 61, larangan memasak di dalam kiosk MBSJ menyukarkan pihaknya menjual makanan kepada pelanggan, apatah lagi jauh dari penempatan sekarang.

“Kami di sini ada lapan orang ibu tunggal yang berniaga di gerai makan sejak hampir 20 tahun lalu, memang mengharapkan perniagaan ini sebagai satu sara hidup kami.

“Kami bukan orang senang, tiada kenderaan, tiada motor, kami berbelanja pun jalan kaki ataupun naik bas, kami pula tak dibenarkan bawa dapur, tak boleh tinggal perkakas, kena bawa balik.

“Orang berniaga pisang goreng, roti canai takkan nak masak dari rumah bawa ke sana, siapa nak beli kalau makanan dah sejuk,” katanya. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. MARIAH MAHMUD adun pankhianat….TIDAK AMANAH pada mandat rakyat yg mengundi…JKR kuala langat boleh pula minta maaf pada KJ kerana tergolek..tanpa rundingan….herannya persatuan ingin berunding dgn majlis SJ..tapi tiada respon…peniaga2 yg sekarang terkial2 cari rezeki masa pandemik ini sepatutnya ada timbang rasa dari MbSJ.
    larangan memasak di dalam kiosk MBSJ menyukarkan pihaknya menjual makanan kepada pelanggan, apatah lagi jauh dari penempatan sekarang.tak dibenarkan bawa dapur, tak boleh tinggal perkakas, kena bawa balik…..nak masak atas angin kot

  2. Laaa meniaga goreng pisang pun korang nak pi roboh dan halau..mrk cuma cari makan..bukan mencuri kaaa..musibat betul lah Majlis ni

Comments are closed.