Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkukuh dan memaksimumkan kutipan hasil cukai dengan meningkatkan keapungan melalui insentif pembaharuan seperti yang dibawa dalam langkah cukai pada Belanjawan 2021.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, bagi menjayakan usaha itu, kerajaan memperkenalkan empat strategi seperti memperluaskan asas hasil, manfaatkan potensi sektor tidak formal, mengurangkan amalan kurang terapung dan isytihar serta mengurangkan ketirisan cukai.

Katanya, kerajaan juga akan menambahbaik pentadbiran cukai melalui pengurusan data yang terkesan dan integrasi data menerusi agensi berkaitan.

“Bagaimanapun, kita tidak nafikan, pandemik Covid-19 merupakan satu elemen yang menjejaskan kutipan hasil kerajaan.

“Hasil kerajaan telah disemak menurun kepada RM227.3 bilion berbanding anggaran asal ketika bajet dibentangkan pada tahun 2019 bagi bajet 2020 iaitu 244.5 bilion, kira-kira 18 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian menjawab dan menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan (Pindaan) 2020 pada persidangan Dewan Negara di Parlimen, hari ini.

Seramai tujuh Ahli Dewan Negara mengambil bahagian dalam perbahasan usul RUU itu.

Menurut Mohd Shahar, usul yang dibangkitkan Senator Idris Ahmad berkaitan Food Security akan dibangunkan dalam Belanjawan 2021 menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) nanti.

Beliau memberi jaminan, kerajaan menerusi kementeriannya akan memastikan pandangan, idea dan cadangan Ahli Dewan Negara akan dimasuk serta diperkasakan dalam RMK12 untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Dalam tempoh jangkaan sederhana dan sekiranya ekonomi negara kembali pulih, kerajaan akan memperluaskan asas hasil dengan mengurangkan jurang cukai dan meningkatkan kecekapan cukai bagi memastikan kutipan hasil yang begitu mampan.

“Matlamat ini juga akan kita capai melalui merasionalisasikan insentif cukai, mengurangkan ketirisan cukai dan penting sekali meningkatkan pematuhan cukai melalui pengauditan yang berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.