Mohd Khairul Azam (dua dari kiri) dan Dr. Ibrahim (kanan) pada sidang media selepas mendapat kebenaran permohonan semakan kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan hari ini.

KOTA BHARU – Peguam kepada 17 penduduk Kampung Jalan Atas Paloh dekat sini berjaya mendapat kebenaran permohonan semakan kehakiman dari Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, permohonan itu difailkan minggu lalu untuk menuntut keadilan dari mahkamah berhubung penganiayaan sebuah syarikat perbadanan milik kerajaan negeri ke atas penduduk.

Beliau yang merupakan Pengerusi Biro Undang-Undang Parti Putra Malaysia menjelaskan, syarikat perbadanan itu memberi pampasan RM1,000 untuk merobohkan rumah didiami penduduk sejak puluhan tahun itu.

“Syarikat berkenaan hendak bayar RM500 sebelum rumah dirobohkan dan baki RM500 lagi akan dibayar selepas kerja meroboh selesai. Ini pembayaran pampasan yang tidak adil dan jahat.

“Bagaimanapun, kami dari Biro Undang-Undang Parti Putra terpanggil untuk memberikan pembelaan kepada penduduk ini dan Alhamdulilah, dengan keputusan mahkamah ini, maka perjuangan penduduk Kampung Jalan Atas Paloh sudah bermula,” katanya kepada media di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dan barisan kepimpinan Badan Perhubungan Putra Kelantan.

Menurut Naib Presiden Putra itu, dengan kebenaran permohonan itu juga, mahkamah menetapkan 13 Januari 2021 sebagai tarikh pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Katanya, beliau menjangkakan perbicaraan kes itu paling awal dimulakan pada Mei atau Jun tahun depan.

“Ini perkembangan yang baik kerana mahkamah telah membuka pintunya kepada penduduk Kampung Jalan Atas Paloh untuk memfailkan tindakan semakan kehakiman,” katanya.

Sementara itu, menurut Mohd Khairul, terdapat 12 lagi penduduk kampung itu yang rumah mereka telah dirobohkan, tetapi belum menerima rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dijanjikan syarikat perbadanan itu.

Kes itu juga, ujarnya, boleh diambil tindakan dan kemungkinan pihaknya akan memfailkan satu saman baharu bagi penduduk berkenaan sekiranya mendapat persetujuan mereka.

“Dari segi undang-undang ada asas untuk 12 penduduk ini memfailkan tindakan saman sivil terhadap pihak syarikat perbadanan itu kerana merobohkan rumah tanpa terlebih dahulu menyediakan rumah PPR.

“Tindakan itu bertentangan dengan notis yang syarikat berkenaan keluarkan melalui notis bertarikh 24 April 2019. Dalam notis itu, secara jelas menyatakan arahan pengosongan itu bermula dalam tempoh 60 hari selepas rumah PPR diperolehi oleh penduduk.

“Malangnya, syarikat perbadanan itu telah terlebih dahulu merobohkan rumah penduduk tanpa terlebih dahulu memberikan rumah PPR kepada penghuninya,” katanya yang menyifatkan berlaku pelanggaran perjanjian antara syarikat perbadanan itu dengan penduduk. – MalaysiaGazette