Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 506 kluster telah dilaporkan termasuk lapan kluster baharu pada hari ini, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 283 kluster termasuk lima kluster yang tamat iaitu Kluster Tapak Bina Sungai Mulia, Kluster Assumption, Kluster Blok 31, Kluster Tanjung Bunga, dan Kluster Jeri.

Jelas beliau, ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 223 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 53 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tembok Choh sebanyak 374 kes, Kluster Tampoi Jaya (138 kes), dan Kluster Beringin adalah 61 kes,” katanya dalam satu kenyataan harian berkaitan Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, terdapat lapanĀ  kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu Kluster Tembok Choh yang melibatkan daerah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kulai, dan Mersing di Johor.

Kluster kedua dan ketiga jelas beliau adalah Kluster Bina Brogra melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor dan Kluster Bina Tapak Stesen yang melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kluster seterusnya Kluster Slot Berjaya iaitu tempat kerja yang melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kluster Jalan Nikolas melibatkan daerah Titiwangsa juga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kluster lain adalah Gerbang Pongsu Kluster melibatkan daerah Kerian dan Kinta di Perak, Kluster Damai Ketari di daerah Bentong di Pahang dan akhir sekali Kluster Alor melibatkan daerah Kota Setar di Kedah serta daerah Titiwangsa dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya. – MalaysiaGazette