Allahyarham Hassan Harun.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Koperasi Usaha Bersatu Bhd (KUB) Malaysia, Datuk Hassan Harun meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM, Kubang Kerian, Kota Bharu.

Allahyarham berusia 75 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.15 pagi, menurut sumber dari anaknya menerusi aplikasi Whatsapp. Beliau bagaimanapun, tidak memaklumkan punca bapanya meninggal dunia.

Hassan yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tahun ini, dilantik pengerusi KUB pada 1991 melepaskan jawatan itu tahun 2004.

Beliau terlibat dalam politik sekitar tahun 1980-an dan pernah menangi dalam pemilihan jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) selama satu penggal dari 1988 hingga 1991.

Allahyarham Hassan yang merupakan pengasas sekolah swasta, Wadi Sofia mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan, perniagaan dan pengurusan korporat, selain politik.

Beliau juga antara yang bertanggungjawab menubuhkan Akademi Kenali, Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) dan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). – MalaysiaGazette