Tiga kluster baharu Covid-19 membabitkan  tempat kerja, komuniti dan kumpulan berisiko tinggi dikesan di Johor dan Selangor.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lima kluster baharu Covid-19 dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Ia membabitkan Kluster Jalan Gajah di Klang, dengan rekod kes positif sebanyak 22 daripada 90 yang telah disaring.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seterusnya adalah Kluster Jalan Datuk melibatkan saringan di tempat kerja di Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Klang, Hulu Langat dan Putrajaya.

“Sehingga 31 Disember 2020, sejumlah 34 individu telah disaring, di mana 23 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” kata beliau menerusi kenyataan perkembangan Covid-19 hari ini.

Selain itu Kluster Kampung Bahru dan Pontian di Johor merekodkan 35 kes positif daripada 194 yang telah disaring.

“Keempat adalah Kluster juga di Johor Bahru tetapi di tempat kerja. Sehingga 31 Disember 2020, sejumlah 185 individu telah disaring, di mana 27 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” tambahnya.

Sementara itu, Kluster Jalan Rasah yang melibatkan 17 kes positif di Serembang dan Putrajaya.

Dalam pada itu, KKM mengisytiharkan tiga kluster tamat hari ini iaitu Kluster Teduh, Kluster Jaya dan Kluster Berendam.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 225 kluster,” tambah Noor Hisham. – MalaysiaGazette