'Abang Bas' sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Muar hari ini atas pertuduhan menggunakan aplikasi TikTok dengan menghantar komen jelik dalam videonya, bulan lalu

MUAR – ‘Abang Bas’ sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan aplikasi TikTok dengan menghantar komen jelik dalam videonya bulan lalu.

Lelaki berusia 24 tahun itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan semula di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Pada 12 September lalu di Mahkamah Sesyen di sini, dia didakwa menggunakan TikTok dengan nama akaun ‘Abang Bas’ yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen ‘hari ini crush buat homework‘ diikut tanda ‘love’ sambil memerhatinya.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Aman 2, Taman Budiman, Parit Raja di sini pukul 11 malam pada 5 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama dengan denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan seterusnya, denda RM1,000 bagi setiap kesalahan selepas yang disabitkan.

Peguam secara probono yang mewakili ‘Abang Bas’, Muhammad Qayyim Saiful Bahari seterusnya memohon agar prosiding kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Muar.

Permohonan tersebut kemudian mendapatkan kebenaran daripada hakim.

Hakim kemudiannya menetapkan 11 November ini untuk penyerahan dokumen dua lagi pertuduhan dihadapi ‘Abang Bas’ atas dakwaan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak termasuk seorang anak saudara perempuannya.

Permohonan tarikh baharu bagi serahan dokumen itu dibuat selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir masih belum dapat menyerahkan laporan diperlukan.

Pada 10 September lalu, Abang Bas berusia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017, Seksyen 15 (a) (iii) akta sama.

Dia yang mengaku tidak bersalah sebelum Hakim Sayani Mohd Nor membenarkannya diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan ini.

Sehari kemudian, dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan membuat pengakuan sama serta diikat jamin RM10,000.

Bagaimanapun, kegagalan melunaskan ikat jamin menyebabkan dia dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.

Pada 17 September lalu, ‘Abang Bas’ dibebaskan selepas membayar ikat jamin RM40,000 di Kompleks Mahkamah Muar.

Proses membayar ikat jamin dilakukan peguam probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar selepas lebih seminggu ‘Abang Bas’ ditahan di pusat tahanan sementara.

Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Susulan itu, tertuduh yang masih bujang ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kluang pukul 2.57 pagi pada 6 September lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast