Gambar hiasan
MALAYSIA!
Selamat mencipta memori baharu untuk lembaran 366 hari di tahun 2021 ini, kepada semua warga Malaysia dari pelbagai pelusuk tanah air. Marilah kita berpakat untuk sentiasa mendoakan sesama sendiri sentiasa sihat, selamat dan gembira walau di mana jua berada.
Jadikanlah detik-detik silam di tahun 2020 lalu sebagai sebuah kisah pedoman yang menginsafkan dalam kehidupan masing-masing, walaupun dikala kita sedang berhadapan dengan serangan virus maut pandemik COVID-19 yang tidak nampak akan kesudahannya lagi. Tolong jaga diri dan amalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan pada setiap masa.
Harus diingat, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP disambung tempoh lagi. Ini membawa makna peraturan tersebut membolehkan Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan sebarang arahan bagi mencegah dan mengawal jangkitan COVID-19.
Aktiviti seperti pelancongan dalam dan luar negeri, aktiviti pub dan kelab malam (kecuali perniagaan restoran dalam pub atau kelab malam), dan aktiviti di mana penjarakan fizikal sukar dilaksanakan adalah dilarang.
Pegawai yang diberi kuasa juga boleh mengeluarkan arahan berhubung pergerakan dan aktiviti mana-mana individu di dalam kawasan yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Mereka yang melanggar peraturan tersebut berpotensi dikenakan denda sehingga RM1,000.00 atau penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya.
Warta yang dinamakan “Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (No. 9) 2020” itu dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Seri Adham Baba bertarikh 31 Disember 2020 dan disebarkan oleh Majlis Keselamatan Negara pada jam 12.27 pagi 1 Januari 2021.
Bersempena tahun baharu ini, suka untuk kita menarik perhatian semua agar terus mengekalkan perpaduan antara kaum dan kepelbagaian latar belakang sebagai salah satu aset kekuatan dan keunikan negara.
Walaupun perbezaan kaum dan latar belakang ini boleh menjadi suatu elemen perpecahan jika tersalah langkah, namun kita tiada pilihan dalam mengurusjalinkan keunikan yang kita ada.
Tuhan telah menganugerahkan negara ini sebuah aset yang berharga untuk kita saling peliharanya, iaitu kepelbagaian kaum dan latar belakang (majmuk) hidup dalam sebuah negara yang sama. Oleh itu, marilah kita bantu-membantu untuk membina, mengekal dan menguatkan keunikan ini bersama.
Siapa kata perbezaan tidak mampu memberi kekuatan dan kejayaan? Lihat sendiri bagaimana penganut agama Islam apabila bekerjasama erat dengan penganut beragama Kristian dalam sejarah Tamadun Andalusia dahulu, ia membentuk sebuah legasi yang cukup digeruni seantero dunia.
Bukan bermaksud kita mahu menukar agama atau fahaman akidah, tetapi kita perlu saling lakukan silang kepakaran, nilai murni dan bersatu hati dalam memacu negara menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Justeru pasti semua orang yang positif berharap kepada semua warga Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, keturunan kaum atau taraf hidup; atas nama negara tercinta Malaysia, membudayakan sikap saling bantu-membantu serta saling jaga menjaga sesama sendiri dalam membina semula sebuah Malaysia yang diminati dan digeruni.
Kita baiki Malaysia ini dengan semangat dan aset yang ada. Kita jadikan perbezaan kaum dan agama sebagai sebuah ketidaksamaan yang membentuk perpaduan tererat di bawah pimpinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Jadikan tahun 2021 ini sebagai sebuah tahun kegemilangan dalam tamadun manusia. Sama-sama kita ambil bahagian dalam kejayaan memberhentikan penularan COVID-19, mengembangkan kembali sektor ekonomi dunia dan mengeratkan silaturrahim sesama kita tanpa mengira bangsa dan agama.
Safarizmal Md Saad
Setiausaha Agung ABATA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast